ARTIKEL

LEMBAGA Koko Malaysia turut merintis penghasilan produk coklat berasaskan biji koko dari Sarawak. Bernama

Sarawak pemangkin baharu industri coklat negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MELAKA: Sarawak berpotensi memperkukuh industri koko negara menerusi peluasan kawasan penanaman dan penghasilan produk coklat bernilai tambah tinggi, sekali gus membantu mengurangkan jurang bekalan biji koko kering yang kini banyak bergantung kepada import dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Shari Fuddin Sha’ari berkata, usaha memperluas penanaman koko di Sarawak, selain negeri pengeluar utama iaitu Sabah, mampu meningkatkan bekalan bahan mentah tempatan apabila tanaman baharu mula mengeluarkan hasil.

Beliau berkata, pengembangan industri itu juga perlu disertai usaha memperkukuh aktiviti hiliran supaya petani tidak hanya bergantung kepada penjualan biji koko kering, sebaliknya dapat meneroka pemprosesan kepada produk coklat yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi.

“Kita melihat banyak lagi potensi dalam rantaian industri koko. Daripada biji koko kering, kita boleh menghasilkan produk coklat dan membawa teknologi pemprosesan itu kepada petani serta usahawan yang berminat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian A Malaysian Cocoa Affair 2026.

Terdahulu, perasmian dilakukan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Shari Fuddin berkata, Lembaga Koko Malaysia turut merintis penghasilan produk coklat berasaskan biji koko dari Sarawak menerusi pendekatan sumber tunggal, dengan biji koko kering dari empat lokasi diproses di pusat penyelidikan koperasi kluster di Kota Samarahan.

“Biji koko dari lokasi berbeza mempunyai ciri rasa dan aroma tersendiri yang dipengaruhi faktor seperti kawasan penanaman dan kaedah pemprosesan, sekali gus membuka peluang untuk menghasilkan coklat dengan identiti tersendiri.

“Keunikan ini boleh dimanfaatkan oleh pengusaha untuk menghasilkan pelbagai formulasi coklat, termasuk gabungan biji koko tempatan dengan bahan seperti gula Melaka,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga berpotensi menarik lebih ramai usahawan, khususnya generasi muda untuk menceburi industri koko dengan memberi tumpuan kepada inovasi, pembangunan produk dan pemasaran.

Dalam pada itu, Shari Fuddin berkata, minat petani untuk mengusahakan tanaman koko masih menggalakkan, dengan sebahagian daripada mereka turut memohon bantuan bagi memulakan atau memperluas penanaman.

Beliau berkata, peruntukan yang diterima menerusi Rancangan Malaysia (RMK) terkini turut menyokong usaha memperluas kawasan tanaman koko, sekali gus memberi peluang kepada industri itu untuk terus berkembang.

“Peningkatan pengeluaran tempatan diharap dapat mengurangkan jurang bekalan biji koko kering dari luar negara. Hal ini juga mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar kepada petani dan usahawan melalui penghasilan produk hiliran,” katanya. -Bernama

BERITA LAIN

Tingkatkan pendapatan rakyat Sarawak

KUCHING: Status Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah supaya kemajuan ekonomi yang dicapai turut membawa perubahan nyata kepada kehidupan

BERITA TERBARU

Guru meratapi pelajar terkorban

RASUWA: Setiap pagi di sebuah sekolah di Nepal yang dilanda banjir teruk, para guru yang mengambil kedatangan pelajar berdepan dengan peringatan yang menyayat hati mengenai

PERTEMUAN

Ruang ini manis, tempat harapan bertemu di antara warna warna pencarian sebelum pulang membawa kenyataan. Ruang ini harum, seleranya berbagai pilihan memanggil-manggil di atas sekeping