KUCHING: Status Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah supaya kemajuan ekonomi yang dicapai turut membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat.
Ketua Setiausaha Politik Premier, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, meskipun pencapaian itu merupakan satu kejayaan penting, ia tidak bermakna semua keluarga di negeri ini secara automatik menikmati pendapatan yang tinggi.
Menurutnya, masih terdapat isi rumah yang berdepan cabaran untuk meningkatkan pendapatan, sekali gus menjadikan aspek berkenaan antara keutamaan dalam fasa pembangunan Sarawak seterusnya.
“Kita telah berjaya meningkatkan kekayaan negeri. Cabaran kita sekarang ialah bagaimana memastikan kekayaan itu turut meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Fazzrudin menambah, pertumbuhan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada tawaran gaji lebih baik, manakala pelaburan baharu mesti membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.
Katanya, kemajuan teknologi juga perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti dan keuntungan peniaga kecil, petani serta usahawan supaya mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan.
“Pada masa sama, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma perlu membuka laluan kepada peluang kerjaya yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya.
Beliau turut mengibaratkan pembangunan Sarawak seperti sebuah keluarga yang semakin berjaya dalam perniagaan, namun kejayaan itu belum menyeluruh sekiranya masih terdapat ahli keluarga yang tidak berpeluang memperbaiki kehidupan.
“Bukan sekadar berapa banyak wang yang masuk ke dalam akaun negeri, tetapi berapa banyak pendapatan tambahan yang masuk ke dalam akaun keluarga rakyat Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, Fazzrudin berkata, kejayaan pembangunan Sarawak pada masa depan perlu dinilai berdasarkan sejauh mana pertumbuhan ekonomi mampu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat.



