KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan jalan sepanjang 6.3 kilometer dari Jambatan Sejingkat menuju Jambatan Batang Samarahan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada suku ketiga 2027.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris berkata, projek itu dilaksanakan mengikut piawaian JKR R5, melibatkan reka bentuk jalan dua hala tanpa pembahagi, dua persimpangan berlampu isyarat serta beberapa persimpangan kecil.

“Skop pembinaan turut merangkumi Jambatan Loba Gong sepanjang 39.8 meter.
“Apabila siap kelak, jalan ini dijangka memperkukuh hubungan antara Jambatan Sejingkat dengan laluan menuju Jambatan Batang Samarahan, sekali gus memudahkan pergerakan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan pelaksanaan projek berkenaan di tapak, di sini, hari ini.
Cassidy berkata, JKR Sarawak komited memastikan projek itu memenuhi keperluan teknikal, piawaian kualiti dan aspek keselamatan bagi menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat.


