ASAJAYA: Masyarakat digesa menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin harian bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit yang semakin membimbangkan, termasuk dalam kalangan golongan muda.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, gaya hidup kurang aktif, termasuk duduk terlalu lama ketika bekerja atau berada di rumah, perlu diberi perhatian.
“Oleh itu, jangan duduk sahaja di rumah. Berjalan-jalan sekurang-kurangnya untuk bersenam,” katanya ketika berucap merasmikan program Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Samarahan di Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, masyarakat tidak semestinya menyertai sukan yang memerlukan kemudahan atau peralatan khusus kerana aktiviti mudah seperti berjalan kaki dan berlari di sekitar kawasan kediaman juga bermanfaat.
Amalan bersukan secara konsisten membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan mental, sekali gus menyokong kehidupan yang lebih sihat dan produktif.
Rubiah berkata, Hari Sukan Negara perlu dijadikan pemangkin untuk membudayakan aktiviti fizikal sepanjang tahun, bukannya terhad kepada sambutan tahunan itu sahaja.
Beliau turut menggalakkan ketua kampung, jawatankuasa masyarakat, persatuan dan pertubuhan setempat menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan serta rekreasi untuk penduduk.
“Penyediaan kemudahan seperti padang permainan dan dewan di kawasan kampung juga penting bagi memudahkan masyarakat melakukan aktiviti riadah secara berkumpulan,” katanya.
Beliau berharap usaha berterusan itu dapat melahirkan masyarakat yang lebih sihat, cergas dan aktif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

