KUCHING: Sembilan wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditempatkan di Depot Imigresen Semuja dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi operasi pemindahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, semalam.
Kesemua 10 tahanan yang dikategorikan sebagai Orang Yang Dipindahkan (OYD) itu dibawa melalui laluan udara ke Ho Chi Minh, Vietnam dan Dhaka, Bangladesh.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan pada Jumaat melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Operasi itu turut melibatkan pegawai dan anggota JIM yang ditugaskan menguruskan dokumentasi, iring kawal serta penyelarasan logistik bagi memastikan kelancaran pergerakan tahanan,” menurut kenyataan itu.
JIM Sarawak memaklumkan bahawa setiap proses pemindahan dilaksanakan secara teratur, selamat dan terkawal mengikut prosedur serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pemindahan warga asing ke negara asal masing-masing dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan, selain memperkukuh pengurusan tahanan imigresen di Sarawak.
Menurut kenyataan itu, aspek keselamatan dan kelancaran pergerakan tahanan terus diberikan perhatian bagi memastikan operasi berjalan lancar.


