GEDONG: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempergiat usaha memperkasa pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk Kampung Tengah Hulu menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Program yang memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti itu akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, esok.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari berkata, program berkenaan bertujuan membantu menangani cabaran masyarakat, termasuk keciciran pendidikan, masalah ekonomi, kemiskinan dan isu sosial.
“Inisiatif yang diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri ini menggerakkan ketua jabatan dan ketua perkhidmatan untuk menyumbang kepada pembangunan kampung halaman masing-masing.
“Konsepnya ialah agensi kerajaan membantu membangunkan masyarakat di kampung kelahiran ketua pengarah atau ketua jabatannya,” katanya dalam temu bual bersama TVS, baru-baru ini.
Pemilihan Kampung Tengah Hulu membolehkan DBP menyumbang kepakaran dalam bidang bahasa, sastera dan pendidikan mengikut keperluan penduduk setempat.
Fasa gerak mula program berlangsung dari 17 hingga 20 Oktober ini, merangkumi pelbagai aktiviti untuk pelajar, golongan belia dan masyarakat umum sebagai asas kepada pelaksanaan program sehingga September 2028.
Antara aktiviti yang dirancang ialah pembudayaan membaca, pertandingan bercerita, bengkel teater dan lagu puisi, persembahan kebudayaan serta kegiatan sukan dan rekreasi.
Program itu turut mengetengahkan warisan dan kemahiran tradisional menerusi demonstrasi menganyam tikar dan ketupat serta penyediaan masakan tradisional.
Dalam bidang pendidikan, Hazami berkata, DBP akan melaksanakan program Pecutan Akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bersama murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong.
Program motivasi turut dirancang untuk pelajar Tingkatan Tiga dan Empat bagi meningkatkan persediaan serta semangat mereka menghadapi cabaran akademik.
Selain itu, pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian selepas sekolah akan diberikan menerusi penglibatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan i-CATS, dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Beliau menggalakkan penduduk setempat, khususnya pelajar dan golongan belia, menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan bagi menjayakan program berkenaan.

