KUCHING: Penganjuran Furry Friends Fair 2026 menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebajikan haiwan, selain memupuk amalan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.
Anak Premier Sarawak, Dayang Nurjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, program itu bukan sahaja menyediakan ruang pameran haiwan peliharaan serta penjualan produk dan keperluan haiwan, malah menggalakkan interaksi masyarakat menerusi pelbagai aktiviti bermanfaat.
“Program ini turut menekankan kepentingan memastikan haiwan peliharaan menerima penjagaan yang baik, selamat dan sewajarnya, termasuk meningkatkan keprihatinan terhadap nasib haiwan terbiar.

“Kerjasama antara komuniti, pihak berkuasa, badan kebajikan haiwan dan sektor swasta amat penting bagi memastikan usaha memelihara kebajikan haiwan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Furry Friends Fair 2026 di sini, hari ini.
Dayang Nurjihan berkata, penglibatan kanak-kanak, keluarga dan masyarakat dalam program seumpama itu wajar digalakkan kerana mampu memupuk nilai kasih sayang, keprihatinan dan belas ihsan terhadap haiwan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran Furry Friends Fair terus berkembang sebagai wadah menyatukan komuniti pencinta haiwan di Sarawak, selain memperkukuh budaya penjagaan haiwan secara bertanggungjawab.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada JJ Pet Shop selaku penganjur, The Spring Shopping Mall serta semua pihak yang memberikan sokongan bagi menjayakan program berkenaan.



