ARTIKEL

Julaihi Narawi ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

Liputan bekalan air Sarawak naik 86.1 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Liputan bekalan air di Sarawak meningkat kepada 86.1 peratus setakat ini berbanding 85.6 peratus tahun lalu, manakala liputan di kawasan luar bandar mencapai 72 peratus.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, bagi mencapai sasaran liputan penuh, Kerajaan Sarawak menyasarkan pembinaan dan naik taraf 32 loji rawatan air utama serta pemasangan 2,934 kilometer (km) saluran grid paip air di seluruh negeri.

Setakat ini, beliau berkata 10 loji rawatan air dan 561 km saluran grid paip air telah siap, manakala baki 22 loji dan 2,373 km saluran paip sedang atau akan dilaksanakan.

“Bagi memastikan keterjaminan bekalan air, Sarawak turut membangunkan sistem grid yang menghubungkan wilayah selatan hingga utara, selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Julaihi berkata, kawasan terpencil di luar liputan sistem grid pula menerima bekalan menerusi inisiatif Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dan pembiayaan alternatif, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM6.46 bilion bagi 361 projek bekalan air di seluruh Sarawak.

“Daripada jumlah itu, 338 projek atau 94 peratus telah siap atau sedang dalam peringkat pembinaan, manakala selebihnya masih di peringkat prapelaksanaan.

“Bagi 2026, sebanyak RM662.7 juta diperuntukkan untuk meneruskan projek bekalan air di bawah kedua-dua peruntukan berkenaan,” tambahnya.

Di Wilayah Selatan yang merangkumi Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, Julaihi berkata, sembilan loji rawatan air utama dibina atau dinaik taraf, selain pemasangan grid paip air sepanjang 1,132 km.

Tiga loji iaitu Batu Kitang (Loji 2) di Kuching, Slabi di Serian dan Bayai di Sri Aman telah siap dinaik taraf, katanya.

“Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah naik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang (Loji 4) yang mencapai kemajuan fizikal 79.1 peratus, manakala projek naik taraf Loji Rawatan Air Lubau di Betong mencapai 54.9 peratus.

“Bagi grid paip air, sebanyak 331 km telah siap dibina, manakala baki 801 km sedang dan akan dilaksanakan,” ujarnya.

Di Wilayah Tengah yang meliputi Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit, beliau berkata 12 loji rawatan air utama dirancang untuk dibina atau dinaik taraf, dengan grid paip air sepanjang 1,183 km.

“Empat loji telah siap, manakala lapan lagi berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim di Sibu mencatat kemajuan fizikal 93.22 peratus, manakala naik taraf Loji Rawatan Air Basong di Mukah mencapai 15 peratus.

“Sebanyak 186 km grid paip air telah siap dibina di wilayah itu, dengan baki 997 km sedang dan akan dilaksanakan,” ujarnya.

Sementara itu, Julaihi berkata, Wilayah Utara yang merangkumi Bintulu, Miri dan Limbang melibatkan pembinaan serta naik taraf 11 loji rawatan air utama dan pemasangan grid paip air sepanjang 619 km.

“Tiga loji, iaitu Nyabau di Bintulu serta Berawan dan Trusan di Limbang, telah siap dinaik taraf.

“Bagi projek yang sedang dilaksanakan, Loji Rawatan Air Baharu Lawas mencatat kemajuan fizikal 1.34 peratus, manakala Loji Rawatan Air Baharu Trusan mencapai 2.21 peratus.

“Sebanyak 44 km grid paip air telah siap dibina di Wilayah Utara, manakala baki 575 km sedang dan akan dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi kawasan pedalaman dan terpencil yang tidak diliputi sistem grid, SAWAS telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang menerusi Fasa 1 dan 2.

“Sebanyak 1,300 lagi kampung dan rumah panjang di kawasan luar grid dijangka menerima bekalan air menerusi pelaksanaan fasa seterusnya.

“SAWAS Fasa 3 bagi Bahagian Sarikei kini berada pada peringkat awal pelaksanaan, manakala pelaksanaan di kawasan lain akan dibuat secara berperingkat,” jelasnya.

Selain itu, beliau menjelaskan lapan projek sistem bekalan air alternatif di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah diluluskan bagi Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Kesemua projek itu kini dalam peringkat reka bentuk.

“Sebagai langkah sementara bagi menangani kekurangan bekalan air di kawasan kritikal sementara menunggu sistem grid disiapkan, 20 Acute Water Treatment Plant telah beroperasi di seluruh Sarawak.

“Kemudahan itu menambah kapasiti rawatan air sedia ada sebanyak 109.7 juta liter sehari (JLH),” ujarnya.

Katanya, lima lagi loji seumpamanya di Sebuyau, Balai Ringin, Pakan, Debak dan Suai kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU