KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan ujian pengukuran rangkaian mudah alih (Mobile Network Measurement) di 706 lokasi di seluruh Sarawak sehingga September 2026 bagi memantau prestasi rangkaian dan menilai pematuhan penyedia perkhidmatan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, hasil pemantauan itu menyaksikan MCMC mengeluarkan 78 notis arahan pematuhan kepada penyedia perkhidmatan bagi menangani ketidakpatuhan yang dikenal pasti serta memastikan tindakan penambahbaikan dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.
“Justeru, Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan MCMC dan penyedia perkhidmatan untuk menangani isu kualiti perkhidmatan (QoS) yang berulang khususnya di kawasan yang sering menerima aduan pengguna dan mengalami prestasi rangkaian kurang memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Julaihi memaklumkan bahawa Program Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) sepanjang 5,582 kilometer dengan peruntukan RM2 bilion di bawah Belanjawan 2026 akan meningkatkan kesalinghubungan digital antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, selain memperkukuh kapasiti serta daya tahan rangkaian domestik.
Menurutnya, kementeriannya menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) sedang mempertingkatkan potensi Kuching sebagai Gerbang Digital Antarabangsa melalui pembangunan Stesen Pendaratan Kabel (CLS) bagi menyediakan laluan terus dari Sarawak ke rangkaian global, termasuk menerusi sistem kabel dasar laut South-East Asia Hainan-Hong Kong Express (SEA-H2X).
“Sehubungan itu, Memorandum Persefahaman (MoU) antara SDEC dengan Converge ICT Solutions, sebuah syarikat telekomunikasi Filipina, ditandatangani pada 5 Oktober 2026 sebagai komitmen bersama terhadap pelaksanaan projek SEA-H2X.
“Projek ini dijangka membuka peluang pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan awan (Cloud Services) di Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa program Penambahbaikan Rangkaian (Network Modernisation) SACOFA bernilai RM185 juta sedang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Sarawak dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2027.
Menurutnya, pelaksanaan program itu akan meningkatkan kapasiti keseluruhan rangkaian daripada 1.6 terabit sesaat (Tbps) kepada 7.2 Tbps, manakala kapasiti setiap tapak meningkat daripada 10 gigabit sesaat (Gbps) kepada 100 Gbps, sekali gus mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan internet.
“Sejajar dengan inisiatif ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ oleh MCMC, usaha penambahbaikan liputan telekomunikasi sedang dilaksanakan secara berperingkat di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua bagi menangani masalah kawasan tanpa liputan (blind spot) serta liputan yang lemah.
“Sebagai langkah permulaan, usaha penambahbaikan melalui pembinaan menara baharu sedang dilaksanakan di 40 lokasi strategik di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo,” jelasnya.
Beliau menyatakan, kesesakan rangkaian telekomunikasi berlaku apabila permintaan melebihi kapasiti rangkaian yang tersedia disebabkan peningkatan penggunaan data melalui aplikasi penstriman video seperti YouTube dan Netflix, serta pertambahan jumlah pengguna terutamanya di rumah panjang dan kampung semasa musim perayaan.
“Bagi menangani isu ini, Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan MCMC serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menaik taraf dan memodenkan rangkaian, di samping meningkatkan kapasiti dan liputan telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan yang lebih stabil dan berkualiti,” tegasnya.





