JULAU: Elaun Tuai Rumah wajar dinaikkan kepada RM2,000 sebulan bagi mengiktiraf tanggungjawab besar pemimpin masyarakat rumah panjang dalam menguruskan hal ehwal komuniti, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Beliau berkata, peranan Tuai Rumah bukan sekadar memimpin masyarakat, malah merangkumi tanggungjawab menyelesaikan masalah penduduk serta mentadbir urusan komuniti yang memerlukan kemahiran, kebijaksanaan dan komitmen tinggi.
Menurutnya, peningkatan elaun itu perlu dipertimbangkan bagi memastikan tanggungjawab besar yang dipikul oleh pemimpin masyarakat di rumah panjang mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Beliau berkata, walaupun pelaksanaan kadar berkenaan ketika ini hanya melibatkan syarikat yang mempunyai perolehan melebihi RM50 juta, dasar itu berpotensi diperluaskan pada masa hadapan bagi membolehkan lebih ramai pekerja menikmati peningkatan pendapatan.
Katanya, langkah berkenaan penting untuk membantu pekerja menangani peningkatan kos sara hidup, meskipun pelaksanaannya mungkin mencabar bagi sesetengah pihak.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program di Rumah Danggat, Lubok Kedang, Jalan Engkamop.
Pada program itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,600 kepada Rumah Danggat (Batu 16, Jalan Engkamop), Rumah Jeffery (Batu 4), Biro Wanita Rumah Danggat Engkamop dan Biro Wanita Rumah Tadong Gerugu Sengaih.
Larry berharap kebajikan pekerja di kawasan luar bandar serta pemimpin komuniti terus diberikan perhatian sewajarnya, selaras dengan sumbangan mereka dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.




