KUCHING: Sebanyak 321 kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di Sarawak membabitkan 16,776 kemalangan yang berlaku sepanjang Januari hingga September 2026.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 293 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh berkenaan, selain 106 kemalangan serius dan 171 kemalangan ringan, manakala baki 16,206 kes membabitkan kerosakan kenderaan sahaja.
“Data menunjukkan kereta terlibat dalam lebih separuh daripada semua kemalangan, diikuti oleh kenderaan pacuan empat roda dan motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini.
Menurutnya, PDRM turut mengeluarkan 90,556 saman bagi kesalahan lalu lintas utama sepanjang tempoh sama.
Daripada jumlah itu, Kim Shin berkata, sebanyak 88,189 saman dikeluarkan kerana memandu melebihi had laju, diikuti 802 saman kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu, 767 kerana memotong barisan, 528 kerana melanggar lampu merah dan 270 kerana melintasi garisan berkembar.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak merekodkan 4,547 saman bagi kesalahan lalu lintas utama sehingga September 2026.
Beliau berkata, kesalahan paling banyak direkodkan ialah tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, membabitkan 2,927 saman.
Katanya, sebanyak 900 saman turut dikeluarkan terhadap kenderaan yang membawa barangan berbahaya, manakala 246 saman membabitkan kesalahan membawa muatan berlebihan.
“JPJ merekodkan 199 saman kerana melanggar lampu merah, 160 kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu, 77 kerana memotong di garisan berkembar, 33 kerana memotong barisan dan 5 kerana memandu di lorong kecemasan.
“Angka-angka ini menunjukkan keperluan untuk kesedaran yang lebih tinggi dan pemanduan yang lebih berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.
Bagi menangani isu keselamatan jalan raya, beliau berkata kementeriannya terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak, PDRM, JPJ, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan agensi berkaitan menerusi pelbagai usaha meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.
Katanya, kempen keselamatan jalan raya turut dilaksanakan ketika musim perayaan, khususnya di laluan utama dan Lebuh Raya Pan Borneo.
Selain itu, Program Permainan Lalu Lintas Sarawak (STG) yang dianjurkan sejak 2024 memberi manfaat kepada 720 pelajar di seluruh Sarawak.
Program Perubahan Tingkah Laku Kesedaran Pengangkutan (T-ABC) yang dilaksanakan sejak 2022 pula menjangkau kira-kira 1,500 pelajar di enam bahagian di Sarawak.




