ARTIKEL

Azalina ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Sarawak di Dewan Kenyalang, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

Azalina nafi bantah satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sarawak, Sabah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan dengan tegas dakwaan bahawa kenyataannya di Parlimen sebelum ini menunjukkan beliau membantah cadangan pemberian satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, urusan berkaitan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan di bawah tanggungjawabnya secara langsung, sebaliknya beliau hanya menjawab persoalan bagi pihak kerajaan.

“Tidak, sama sekali tidak. Kenyataan saya di Parlimen tidak pernah disalah tafsir.

Saya fikir, apa sahaja yang berlaku berkaitan SPR pada asasnya melibatkan kerajaan negeri serta SPR di peringkat negeri dan persekutuan.

“Saya juga tidak begitu mengetahui proses penelitian, tempoh masa atau rundingan yang sedang dijalankan.

Saya hanya menjawab bagi pihak kerajaan.

Itu sahaja tugas saya, iaitu memberikan jawapan bagi pihak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Sarawak di Dewan Kenyalang, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut laporan sebelum ini, Azalina pada 3 Mac lalu memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu dikaji dengan teliti kerana implikasinya yang lebih luas terhadap negeri-negeri lain.

Kenyataan Azalina bagi menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, itu mendapat reaksi daripada Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, yang menyifatkan jawapan berkenaan bercanggah dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pada 16 November tahun lalu bersetuju secara prinsip untuk menambah kerusi Parlimen.

Masiung turut mendakwa kenyataan Azalina berpotensi mencetuskan ketegangan politik serta menyinggung perasaan rakyat Sabah dan Sarawak kerana dilihat menentang cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri itu, selain menyifatkan jawapan bertulis Azalina berkenaan sebagai tidak menghormati rakyat di Borneo.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU