ARTIKEL

FWTA potong masa pemprosesan pekerja asing daripada 80 kepada 43 hari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tempoh purata pemprosesan permohonan pekerja asing di Sarawak berjaya dikurangkan daripada 80 hari kepada 43 hari dalam tempoh setahun sehingga 30 September 2026 menerusi pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA).

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, pencapaian itu mengatasi penanda aras pemprosesan selama 61 hari yang ditetapkan bagi permohonan lengkap yang tidak memerlukan penjelasan lanjut.

Menurutnya, berdasarkan data operasi bagi tempoh 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026, sebanyak 95.24 peratus permohonan baharu diproses dalam tempoh 30 hari, manakala 2.66 peratus mengambil masa antara 30 hingga 60 hari.

Katanya, secara keseluruhan, lebih daripada 97.9 peratus permohonan baharu yang selesai diproses memenuhi atau mengatasi sasaran tempoh 60 hari, manakala 2.1 peratus mengambil masa lebih lama berikutan dokumen dan maklumat yang tidak lengkap daripada pemohon.

Bagi permohonan pembaharuan pula, sebanyak 99.63 peratus diproses dalam tempoh 30 hari, manakala 0.23 peratus mengambil masa antara 30 hingga 60 hari dan 0.14 peratus melebihi 60 hari.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini hari ini.

Sikie berkata, penambahbaikan tempoh pemprosesan itu memberikan manfaat kepada majikan melalui mobilisasi tenaga kerja yang lebih pantas, sekali gus membantu mengurangkan kelewatan projek dan kerugian hasil akibat kekurangan pekerja.

Katanya, sektor pembinaan, perladangan dan pembuatan antara industri yang boleh mendapat manfaat daripada tempoh kelulusan lebih singkat, khususnya bagi operasi yang bergantung kepada ketersediaan tenaga kerja mengikut jadual.

Beliau menambah, kadar pemprosesan pembaharuan dalam tempoh 30 hari turut membantu memastikan kesinambungan tenaga kerja, melindungi operasi perniagaan dan mengurangkan beban pentadbiran majikan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut melaksanakan platform Household and Assistance Vetting & Employment Network (HAVEN) bagi mengurus permohonan pembantu rumah asing.

Sikie berkata, platform itu membolehkan permohonan dijejaki secara masa nyata, memperkemas aliran kerja digital bagi mengurangkan kesilapan pentadbiran manual serta memusatkan pengurusan rekod.

Katanya, integrasi teknikal HAVEN dengan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) juga sedang dilaksanakan bagi memudahkan pertukaran data antara agensi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU