KUCHING: Kerajaan Sarawak menerima sebanyak 1,059 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari semua bahagian di negeri ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, semua permohonan berkenaan sedang melalui proses penilaian dan penelitian lanjut sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta kelulusan kerajaan.
Katanya, terdapat empat faktor utama yang menjadi pertimbangan dalam menilai keperluan pewujudan jawatan baharu itu, termasuk keluasan kawasan di bawah bidang kuasa KMKK.
“Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir, berkaitan pewujudan jawatan baharu KMKK, sebanyak 1,059 permohonan telah diterima dari semua bahagian di Sarawak.
“Permohonan berkenaan sedang dalam proses penilaian dan penelitian lanjut untuk dikemukakan bagi pertimbangan dan kelulusan dengan mengambil kira beberapa faktor, yang pertama ialah keluasan kawasan bidang kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, John Sikie berkata, faktor kedua ialah pertambahan bilangan rumah dan penduduk, manakala faktor ketiga melibatkan pembinaan kampung dan rumah panjang serta pembukaan penempatan baharu.
Faktor keempat pula ialah kesukaran akses ke kawasan tertentu, khususnya penempatan yang hanya boleh dihubungkan melalui pengangkutan udara, laluan sungai atau jalan pedalaman, berikutan keadaan muka bumi yang bergunung-ganang dan mencabar.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf peranan KMKK sebagai komponen penting dalam jentera pentadbiran di peringkat akar umbi.
Katanya lagi, KMKK memainkan peranan signifikan dalam menyokong pelaksanaan dasar, program dan inisiatif kerajaan, selain memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan secara teratur, berkesan dan menyeluruh.
“Kerajaan Sarawak juga menyedari skop tanggungjawab yang diamanahkan kepada KMKK kini semakin meluas, kompleks dan mencabar.
“Justeru, kenaikan kadar gaji dan elaun bulanan KMKK sebanyak RM400 sebulan yang dilaksanakan mulai Januari 2026 menjadi tanda penghargaan terhadap jasa, komitmen dan dedikasi mereka,” ujarnya.



