ARTIKEL

Datuk Seri John Sikie Tayai ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya. | Foto: RAMIDI SUBARI

Kekurangan majistret cabar pengurusan kes Mahkamah Bumiputera Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai, meminta tempoh kontrak majistret Mahkamah Bumiputera dilanjutkan daripada satu tahun kepada tiga tahun bagi menarik dan mengekalkan calon berkelayakan, sekali gus memperkukuh pengurusan kes serta mempercepat penyelesaian kes tertunggak.

Beliau menjelaskan tempoh kontrak yang singkat menjadi antara kekangan dalam usaha mendapatkan calon berkelayakan dalam bidang undang-undang serta mempunyai pengalaman bersesuaian.

“Pelanjutan kontrak ini dicadangkan dengan peluang pembaharuan tertakluk kepada prestasi memuaskan bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan kehakiman dan akses kepada keadilan dalam tempoh sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sikie memberitahu bahawa Mahkamah Bumiputera Sarawak berdepan cabaran menguruskan kes yang semakin meningkat berikutan kekurangan majistret, terutama di peringkat Mahkamah Bumiputera Residen dan Mahkamah Bumiputera Daerah.

Katanya, lapan majistret Mahkamah Bumiputera Daerah menamatkan perkhidmatan pada akhir 2024 selepas kontrak mereka tidak diperbaharui atas faktor usia atau kesihatan.

“Ketika ini, hanya empat majistret berkhidmat di Mahkamah Bumiputera Daerah dan dua di Mahkamah Bumiputera Residen, selain seorang Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera.

“Sebanyak tujuh kekosongan jawatan di Mahkamah Bumiputera Residen dan lapan di Mahkamah Bumiputera Daerah masih perlu diisi,” jelasnya lagi.

Katanya, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak sedang bekerjasama dengan Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Negeri bagi mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan berkenaan.

“Walaupun berdepan kekurangan tenaga kehakiman, sebanyak 4,961 daripada 7,326 kes yang didaftarkan sejak 2020 berjaya diselesaikan setakat September tahun ini, bersamaan 67 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kes berkenaan merangkumi pelanggaran adat, kes sivil, permohonan pengiktirafan sebagai komuniti Bumiputera Sarawak dan kes rayuan,” katanya.

Bagi memperkukuh keupayaan pengendalian kes, beliau berkata, Mahkamah Bumiputera Sarawak melaksanakan sembilan program pembangunan kapasiti sejak 2025 di Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Sibu, Bintulu dan Miri, melibatkan 398 peserta dalam kalangan ketua masyarakat, ketua kaum, pegawai tadbir serta kakitangan mahkamah.

Selain itu, katanya, sebanyak 13 sesi libat urus diadakan di beberapa daerah, termasuk Siburan, Lubok Antu, Selangau, Marudi, Mulu, Bario, Limbang dan Nanga Mendamit, dengan penyertaan 188 peserta bagi memperkemas penyelarasan serta pengurusan rekod kes.

Dalam usaha menyeragamkan pentadbiran, Sikie menjelaskan, Pejabat Ketua Pendaftar turut menerbitkan Buku Panduan Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Mahkamah Bumiputera Sarawak serta Kompilasi Soalan Lazim dan Jawapan Mahkamah Bumiputera Sarawak Jilid 1.

“Kedua-dua buku itu dilancarkan di Bintulu pada 7 Oktober lalu sebagai rujukan kepada kakitangan mahkamah, ketua masyarakat dan ketua kaum dalam melaksanakan tugas serta memberikan penerangan kepada masyarakat,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

15 tahun di Malaysia, Khier akhirnya jejak Sarawak

BINTULU: Bagi petarung muaythai Syria, Mohd. Khier menyifatkan kunjungan pertama ke Sarawak bukan sekadar untuk beraksi di gelanggang. Kunjungan itu turut menjadi peluang untuk mengejar