KUCHING: Projek naik taraf Jalan Stutong Link yang dinanti selama lebih dua tahun akhirnya mula dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, masalah kesesakan itu sebelum ini sering dibangkitkan penduduk setempat, termasuk guru, pelajar dan ibu bapa yang berulang-alik ke sekolah di kawasan berkenaan.
“Saya sendiri pernah turun padang dan merakam video keadaan trafik di kawasan berkenaan lebih dua tahun lalu bagi menunjukkan keseriusan masalah itu.
“Pelaksanaan projek berkenaan memerlukan masa kerana kajian aliran trafik serta prosedur berkaitan perlu diselesaikan sebelum kerja-kerja dapat dimulakan.
“Tidak semudah membuat keputusan hari ini dan melaksanakannya esok.
Setiap keputusan perlu melalui proses dan prosedur yang sewajarnya, selain memastikan pihak bertanggungjawab dapat melaksanakan tugas dengan penuh akauntabiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Projek Naik Taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Kuching, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sering membuat susulan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak hampir setiap minggu sejak kira-kira setahun lalu bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan.
Beliau menyifatkan permulaan projek tersebut sebagai perkembangan positif, meskipun kerja-kerja pembinaan dijangka mengambil masa sehingga 24 bulan untuk disiapkan.
Katanya, kerja-kerja berkenaan mungkin menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan, namun perkara itu perlu dilihat daripada sudut manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
“Walaupun projek ini mungkin mengambil masa dan menyebabkan sedikit gangguan kepada pengguna jalan raya, saya percaya usaha ini berbaloi demi manfaat pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkaitan dalam merealisasikan projek berkenaan.
Ujarnya, usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur perlu mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira sempadan kawasan pentadbiran, selain memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati bersama.
Terdahulu, JKR Sarawak mengumumkan penyerahan Projek Naik Taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Kuching bernilai RM88.99 juta kepada kontraktor Ibraco Construction Sdn Bhd.
Tempoh kontrak projek selama 24 bulan itu bermula 20 Oktober 2026 hingga 19 Oktober 2028.



