KUCHING: Lapan draf kod adat masyarakat asal Sarawak kini dalam proses semakan Pejabat Peguam Besar Negeri (SAGC), kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai.
Menurutnya, empat draf yang dikemukakan kepada SAGC untuk semakan pada Jun 2026 ialah Adat Iban, Adat Bidayuh, Adet Kayan dan Adet Kenyah.
“Empat lagi draf iaitu Adet Melanau, Adet Bagatan, Adet Berawan dan Adet Kiput, turut dalam proses semakan SAGC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, Majlis Adat Istiadat Sarawak sedang menyediakan nota penerangan bagi mengiringi teks yang sedang disemak sementara menunggu kelulusan SAGC terhadap teks semakan semua adat berkenaan.
“Nota penerangan itu bertujuan memberikan pemahaman yang lebih jelas serta panduan praktikal mengenai adat kepada semua pihak yang terlibat dalam pentadbirannya, selain orang awam yang berminat memahami adat,” ujarnya.
Jelasnya, usaha menyemak empat kod adat sedia ada turut dijalankan, iaitu Adat Bisaya, Adat Lun Bawang, Adet Penan dan Adet Kelabit.
“Majlis Adat Istiadat Sarawak juga sedang membuat persediaan untuk memulakan kerja-kerja awal bagi pengkodan tiga adat, iaitu Adet Tagal, Adet Punan dan Adat Iban Remun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Majlis Adat Istiadat Sarawak merancang menganjurkan Simposium Budaya dan Tradisi Orang Ulu pada 2027.
“Simposium itu bertujuan mengetengahkan kekayaan warisan budaya semua etnik dan subetnik Orang Ulu di Sarawak,” ringkasnya.



