KUCHING: Kad Pengenalan Bukan Sarawak (NSIC) mendapat pengiktirafan rasmi Kerajaan Persekutuan untuk digunakan oleh pekerja bukan Sarawak yang layak di bawah ekosistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA).
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, pengiktirafan itu dicapai menerusi mesyuarat rasmi bersama Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya pada 7 Februari 2024.
Katanya, NSIC dipersetujui digunakan sebagai kad pengenalan khusus bagi pekerja bukan Sarawak yang layak, bagi menggantikan i-Kad Persekutuan yang tidak digunakan di Sarawak.
“Penyelarasan susulan bersama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja Sarawak serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (SSEU) membolehkan pelaksanaan kad itu beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Integrasi Imigresen dan Buruh (ILC) Kuching beroperasi sejak awal 2026, manakala ILC Sibu mula beroperasi secara rasmi pada September tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan kepada majikan di Wilayah Tengah.
John Sikie berkata, kerja pengubahsuaian ILC Miri kini berada pada peringkat akhir dan pusat itu dijangka mula beroperasi pada awal 2027.
Sementara itu, ILC Bintulu dan Mukah dijadualkan mula beroperasi menjelang penghujung 2027.



