ARTIKEL

Liputan internet Sarawak capai 94.5 peratus penempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha memperluas liputan internet dengan memberi tumpuan kepada baki 5.5 peratus penempatan yang masih belum mendapat liputan menerusi pembinaan menara telekomunikasi dan penggunaan teknologi satelit mengikut pendekatan “fit-for-purpose”.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, sebanyak 94.5 peratus penempatan di Sarawak telah mendapat liputan internet setakat September 2026.

“Kerajaan Sarawak komited untuk memperluas liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pengukuhan rangkaian 5G, penambahbaikan liputan di kawasan tanpa liputan (blind spot) serta pembangunan infrastruktur digital baharu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.3 bilion bagi pembangunan infrastruktur telekomunikasi menerusi inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN).

Katanya, menerusi projek Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART), sebanyak 618 menara telah siap dibina dan beroperasi, termasuk 17 menara pengulang (repeater) dan sebuah menara komersial.

“Melalui perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar tetap (FWB) di bawah Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) serta Home Fiber MySRBN XL, lebih 56,000 premis telah disambungkan kepada perkhidmatan internet setakat September 2026.

“Pencapaian ini akan terus dipertingkatkan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) menyasarkan kira-kira 60,000 premis disambungkan kepada perkhidmatan MySRBN menjelang akhir tahun ini.

“Pada masa sama, liputan jalur lebar berkelajuan tinggi MySRBN XL akan terus diperluas secara berperingkat menerusi pengaktifan tapak baharu bagi membolehkan lebih banyak premis di luar bandar menikmati akses internet berkelajuan tinggi di rumah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa kesemua 636 menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah beroperasi dengan perkhidmatan 4G.

“Bagi memperluas liputan internet di kawasan luar bandar Sarawak, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 Kumpulan 1 (Batch 1) yang merangkumi sebanyak 350 tapak melalui pembinaan menara telekomunikasi dan penyediaan perkhidmatan Wi-Fi satelit dijangka bermula pada suku pertama tahun 2027.

“Lokasi muktamad 350 tapak tersebut sedang diperincikan oleh pihak MCMC dengan Kerajaan Sarawak melalui SMA,” jelasnya.

Sementara itu, Julaihi memaklumkan bahawa sebanyak 576 tapak Rangkaian 5G Pertama oleh Digital Nasional Berhad (DNB) telah beroperasi.

“Manakala, bagi Rangkaian 5G Kedua yang dilaksanakan oleh U Mobile, sebanyak 511 daripada 513 tapak telah siap dibina dengan 491 tapak telah beroperasi dan selebihnya akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Bella gementar nyanyi lagu baharu depan suami

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Bella Astillah memberi kejutan kepada suaminya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dengan mendendangkan lagu gubahan khas pada resepsi perkahwinan mereka