KUCHING: Draf pindaan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 sedang diteliti secara menyeluruh oleh Jabatan Peguam Besar Negeri, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai.
Beliau berkata, penelitian itu bagi memastikan perubahan yang dicadangkan dapat dilaksanakan serta memenuhi keperluan dan cabaran semasa Mahkamah Bumiputera Sarawak.
“Berhubung cadangan pindaan kepada Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992, saya ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa draf pindaan tersebut sedang diteliti secara menyeluruh oleh Jabatan Peguam Besar Negeri.
“Penelitian ini merupakan langkah penting untuk memperkukuh institusi Mahkamah Bumiputera Sarawak dan menyokong pentadbiran keadilan yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini hari ini.
Sikie menegaskan, Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh Mahkamah Bumiputera Sarawak sebagai institusi penting dalam memelihara adat, tradisi dan keharmonian sosial masyarakat Bumiputera Sarawak serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang adil, berkesan dan cekap kepada rakyat.
“Oleh itu, kerajaan terus komited untuk memastikan pindaan yang dicadangkan memelihara adat dan tradisi masyarakat Bumiputera, di samping meningkatkan keupayaan Mahkamah Bumiputera Sarawak untuk memberikan perkhidmatan yang adil dan berkesan,” tambahnya.
Sementara menunggu pindaan itu dimuktamadkan dan berkuat kuasa, beliau berkata, Mahkamah Bumiputera Sarawak akan terus beroperasi berdasarkan kerangka perundangan sedia ada.




