KUCHING: Seramai 16 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini, atas pertuduhan menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, kesemua individu itu terdiri daripada 11 lelaki dan lima wanita berusia antara 20 hingga 37 tahun.
“Kesalahan tersebut dilakukan oleh kesemua tertuduh sekitar Julai sehingga Ogos 2024.
“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu kata Mancha, kesemua tertuduh sebelum ini ditangkap pada 14 Ogos lalu di sebuah premis di sini oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak.
Katanya, kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 120 B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 417 Kanun yang sama.
Siasatan katanya, dijalankan di bawah Seksyen 420/120 B (1) Kanun Keseksaan.
“Pendakwaan dijalankan di Mahkamah Majistret 3 oleh pegawai pendakwa Asp Suziana Sulaiman, di hadapan Majistret 3 Mason Jaro Lenya Barayan.
“Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret 3 Mason Jaro Lenya Barayan dan memerintahkan setiap tertuduh diberi jaminan mahkamah RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan.
“Majistret kemudian menetapkan tarikh 15 Oktober 2024 untuk pengurusan kes. Kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Francis Wee,” katanya.




