ARTIKEL

Dayang Noorazah Awang Sohor

16 Kes Denggi di Maludam, Pengurusan Sampah dan Saliran Perlu Diperkemas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 16 kes denggi dilaporkan di Maludam pada September lalu sekali gus mendorong pelaksanaan gotong-royong bagi membendung penularan penyakit itu.

ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, masalah pembuangan sampah ke sungai dan longkang serta persekitaran yang tidak terurus perlu ditangani secara lebih menyeluruh bagi mengurangkan risiko kesihatan awam.

“Sampah yang menyekat aliran air boleh menjejaskan sistem saliran dan meningkatkan risiko banjir, khususnya ketika hujan lebat serta air pasang.

“Pada masa sama, bekas yang menakung air berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus meningkatkan risiko penularan denggi dalam kalangan penduduk,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dayang Noorazah menegaskan bahawa tindakan menjaga kebersihan tidak seharusnya bergantung pada operasi gotong-royong selepas masalah berlaku, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan melalui sistem pengurusan sampah dan penyelenggaraan saliran yang berkesan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri melalui kementerian berkaitan dan pihak berkuasa tempatan memperkenalkan Sistem Penilaian Prestasi Kebersihan Daerah yang dilaksanakan secara berkala di seluruh Sarawak.

Menurutnya, penilaian itu perlu merangkumi keberkesanan kutipan sampah, kebersihan pasar dan kawasan komersial, keadaan tempat pengumpulan sisa serta penyelenggaraan longkang dan parit.

Beliau turut mencadangkan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas kepada pihak berkuasa tempatan, termasuk pematuhan jadual kutipan sampah, pemeriksaan berkala dan tempoh penyelesaian aduan penduduk.

Tindakan pembetulan juga perlu dikenakan terhadap kontraktor atau pihak yang gagal memenuhi standard perkhidmatan ditetapkan bagi memastikan mutu kebersihan sentiasa terpelihara.

Selain Maludam, beliau membangkitkan isu kebersihan di Bandar Sri Aman, khususnya di kawasan lot kedai komersial, pasar tamu dan tempat pengumpulan sampah yang didakwa kotor serta mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan keselesaan peniaga, pelanggan dan pengunjung, sedangkan Sri Aman merupakan pusat ekonomi dan perkhidmatan penting kepada masyarakat di kawasan sekitarnya.

Justeru, beliau berharap kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan, ketua masyarakat dan penduduk diperkukuh bagi memastikan pengurusan sampah serta kebersihan persekitaran dilaksanakan secara konsisten.

“Kebersihan bukan sekadar mencerminkan imej sesebuah bandar atau kawasan penempatan, malah berkait rapat dengan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU