170 karton rokok tanpa cukai Kastam dirampas

MIRI: Sebanyak 170 karton rokok tanpa cukai Kastam dirampas daripada seorang peniaga sebuah kedai berdekatan simpang Batu Niah, di sini kelmarin.

Rampasan bernilai RM24,672 itu hasil Ops Andai yang dijalan Polis Marin Wilayah Lima terhadap premis terbabit, sekitar jam 1 petang.

Komandernya, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata hasil pemeriksaan menjumpai rokok daripada pelbagai jenama disimpan di dalam premis berkenaan.

“Kesemua rokok yang dijual ini disyaki tanpa cukai Kastam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsol menambah peniaga terbabit turut ditahan mengikut Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.

Justeru, beliau mengingatkan para peniaga supaya tidak menjual barangan yang tidak bercukai kerana ia menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasa.

“Kami akan sentiasa memantau dan menjalankan operasi bagi membendung gejala penyeludupan rokok daripada berleluasa,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan tersebut diminta memberi kerjasama atau menghubungi pihak berwajib di talian 082-334111.