ARTIKEL

1,738 titik panas dikesan di Kalimantan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 1,738 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia setakat semalam, dengan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dari Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura, sebanyak 36 titik panas turut dikesan di Sumatera, manakala enam titik panas direkodkan di dalam negara, masing-masing satu di Sabah dan lima di Sarawak.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada 28 Ogos menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan, kecuali beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan bahagian utara Borneo yang menerima hujan.

“Kelompok titik panas bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan serta bahagian selatan dan tengah Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu kata JAS, kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

“Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

“Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat Sarawak dan Semenanjung Malaysia, serta bahagian selatan dan tengah Sumatera turut merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat hingga sangat tidak sihat,” ujarnya.

Bagaimanapun jelas JAS, keadaan keseluruhan titik panas dan jerebu di rantau berkenaan tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan.

“Sehubungan itu, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka, selain terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu negara,” tambahnya.

Perkembangan itu menunjukkan keadaan cuaca kering dan aktiviti pembakaran di beberapa kawasan serantau masih menjadi faktor yang boleh mempengaruhi kualiti udara, khususnya di bahagian barat Sarawak yang menerima pergerakan asap dari Kalimantan Barat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU