KUCHING: Seramai 18 daripada 50 warganegara asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Imigresen (BPI) Kuching di sekitar Bandaraya Kuching malam Isnin lepas.
Menurut hantaran Facebook BPI, kesemua individu ditahan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan sah; tinggal melebihi masa dan tidak mempunyai pas sah tinggal di Malaysia.
“Seramai 50 individu telah diperiksa di lokasi-lokasi seperti premis makanan, bengkel automobil, kedai serbaneka dan kawasan perumahan.
“Seramai 18 ditahan setelah saringan pemeriksaan dokumen dilakukan,” kata hantaran itu.
Daripada jumlah itu, seramai 16 individu ditahan dalam salah satu pemeriksaan di kawasan taman perumahan dengan dua individu ditahan di lain-lain tempat.
Tambah hantaran itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia atau melalui saluran aduan online sedia ada,” kata hantaran itu.




