199,797 warga emas telah memohon KGC setakat pertengahan bulan Januari

KUCHING: Sebanyak 2,000 permohonan ‘Kenyalang Gold Card’ setakat 22 Januari tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan permohonan seramai 199,797 orang warga emas.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 184,084 kad yang telah dicetak dan 133,274 telah pun diagih kepada pemohon.
“Setakat 21 Januari lepas, sebanyak 195 peniaga telah mendaftar sebagai pem rakan stratergik KGC. Daripada jumlah tersebut Kuching mempunyai rakan niaga terbanyak iaitu 86 diikuti Miri (32), Sibu (24), Bintulu (12), Samarahan (11), Limbang (sepuluh), Mukah (lima), Sarikei (tiga), Sri Aman (tiga), Betong (dua), dan Kapit (satu).
“Kita masih mencari peniaga yang lain dari seluruh bahagian di Sarawak untuk menjadi pembekal kepada pemegang kad KGC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Penyelarasan KCG dan Bantuan Ihsan Kematian di Bangunan Baitulmakmur, hari ini.
Tambah Fatimah, terdapat sejumlah KGC yang telah dicetak tetapi pemohon belum menuntut kad mereka kerana ada yang telah menukar nombor telefon atau alamat rumah dan sukar dihubungi.
Jelasnya, ia adalah satu cabaran besar buat mereka dalam mengagihkan kad berkenaan dengan pelbagai kaedah termasuklah melalui media sosial, pusat perkhidmatan, ketua kaum, ketua masyarakat dan sukarelawan untuk memberitahu pemohon bahawa kad mereka telah siap.
“Di Bahagian Kuching dan Sibu pengedaran kad tersebut agak perlahan. Tambahan pula, Sibu sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengedaran kad akan bermula selepas tempoh berkenaan,” ujarnya.
Selain itu, Fatimah menjelaskan bahawa kemudahan KGC adalah berbentuk potongan harga, pengecualian pembiayaan untuk barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sektor awam, sektor swasta dan gerai komersial yang merupakan rakan stratergik KGC.
“Saya berharap agar lebih ramai individu yang layak tampil memohon KGC agar dapat menikmati pelbagai faedah yang ditawarkan,” katanya lagi.
Sementara itu, pengurusan KGC adalah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) dan borang boleh didapati secara dalam talian.
Untuk maklumat lanjut sila layari laman web https://kenyalanggold.com dan untuk bertanyaan boleh menghubungi (082-514141).

Suara Sarawak