KUCHING: Seramai lebih 220 pelajar dari 13 buah sekolah telah menyertai program perintis STEM Outreach 2025 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, bermula pada Sabtu lalu (19 Julai).
Program tersebut diserikan dengan dua acara utama iaitu ‘Hari Besar Swinburne’ serta bengkel dan pertandingan kod ICT masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata program tersebut sangat baik untuk membantu para peserta menerajui pendidikan masa hadapan, sejajar dengan Strategi Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030.
“Program seperti bengkel kod masa depan ICT bukan sahaja membekalkan pelajar dengan kemahiran masa depan seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan keselamatan siber, malah turut mengukuhkan kerjasama antara sekolah, guru, universiti dan industri.
“Kepada pelajar yang menyertai program ini, anda adalah harapan masa depan Sarawak.
Gunakan peluang ini untuk belajar, bereksperimen atau berinovasi.
“Jangan malu untuk bertanya dan meneroka perkara baharu.
Kemahiran yang anda bentuk di sini, termasuk rasa ingin tahu, kreativiti dan pemikiran kritis, merupakan ciri penting yang diperlukan untuk menyelesaikan cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut baru-baru ini.
Naib Pro-Canselor (Akademik) Swinburne Sarawak, Ir Profesor Sim Kwan Yong, berkata pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan kreativiti yang diperlukan untuk era digital masa depan.
“Dengan mempromosikan kesedaran alam sekitar dan inovasi digital, kami sedang membina pelajar bukan sekadar sebagai pengguna teknologi, tetapi sebagai pencipta dan ejen perubahan,” katanya.


