MUKAH: Seramai 236 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) SK Bukit Arip selepas paras air di kawasan tersebut terus meningkat sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, pemindahan terbaharu itu melibatkan keseluruhan 94 mangsa dari kawasan terjejas.


Menurut beliau, perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan setakat ini adalah seramai 236 orang.
Katanya, semua mangsa terdiri daripada penduduk tiga buah rumah panjang iaitu Rumah Jambai, Rumah Janting dan Rumah David.
“Operasi pemindahan berjalan lancar hasil kerjasama erat pelbagai agensi yang terlibat, termasuk bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemindahan tiga kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Arip dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan mereka susulan keadaan banjir yang semakin membimbangkan.

Tambahnya, setakat ini kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS berada dalam keadaan baik.
Dalam perkembangan berkaitan, semalam seramai 142 penduduk Rumah Janting dipindahkan selepas paras air sungai naik secara mendadak.
Keadaan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah sekitar Selangau.



