SERIAN: Seekor ular tedung selar sepanjang empat meter berjaya ditangkap anggota bomba di stor sebuah rumah di Kampung Rimba Padi, Jalan Ensenggei, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 12.25 tengah hari lalu mengerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba melakukan pemantauan dan mendapati seekor ular tedung selar sepanjang empat meter berada di dalam stor rumah tersebut.
“Pasukan bomba bertindak menangkap ular terbabit dengan teknik menjerut, usaha itu mengambil masa selama 25 minit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ular tedung itu berjaya ditangkap dengan selamat tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, ia kemudiannya dilepaskan semula ke habitat asal jauh dari penempatan penduduk.

