BELAWAI: Seramai 250 orang peserta menyertai Pertandingan Memancing Belawai Beach 2025 anjuran Pejabat Daerah Tanjung Manis, baru-baru ini.
Pertandingan tersebut berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung sekali gus membuktikan potensi kawasan tersebut sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan utama di pesisir Sarawak.
Ia juga bertujuan merancakkan ekonomi setempat menerusi kehadiran pelancong yang memberi manfaat langsung kepada pengusaha rumah inap, peniaga gerai jualan serta pasar tempatan.
Malah, pertandingan tersebut menjadi platform strategik dalam mempromosikan keindahan Pantai Belawai sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Acara ini juga berperanan memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan amalan rekreasi sihat dalam kalangan masyarakat, selaras dengan usaha membudayakan gaya hidup aktif dan berinteraksi secara harmoni.
Kemuncak pertandingan menyaksikan pemancing dari Sibu menerima hadiah utama bernilai RM13,000.
Tempat kedua dengan hadiah RM3,000 dimenangi oleh peserta dari Balingian, manakala RM1,000 untuk tempat ketiga milik peserta tuan rumah dari Tanjung Manis
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Ir. Yusuf Abdul Wahab, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama-sama peserta serta pengunjung.


