SIMUNJAN: Sebanyak 2,500 anak pokok spesies asli ditanam di Hutan Simpan Sabal sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan kawasan hutan terosot dan memulihara biodiversiti di Sarawak.
Jabatan Hutan Sarawak dalam kenyataan hari ini memberitahu, program penanaman pokok anjuran bersama Sarawak Energy Berhad itu melibatkan spesies bernilai tinggi seperti meranti, kapur, selangan, keruing dan engkabang.
“Program ini merupakan inisiatif kerjasama ketiga antara SEB dan Jabatan Hutan Sarawak di Hutan Simpan Sabal bagi tahun 2026 di bawah Kempen Penanaman Pokok, Perlindungan dan Pemulihan Habitat Bersepadu Peringkat Korporat Sarawak Energy selama 10 tahun (2021-2030).
“Dengan penanaman pokok hari ini, kerjasama antara kedua-dua organisasi telah berjaya menanam hampir 5,000 anak pokok asli bernilai tinggi di Hutan Simpan Sabal pada tahun ini.
“Usaha ini sekali gus memberi sumbangan besar kepada usaha pemulihan hutan dan pemuliharaan biodiversiti yang sedang dilaksanakan di Sarawak,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif jangka panjang tersebut mencerminkan komitmen berterusan Sarawak Energy terhadap kelestarian alam sekitar dan pemulihan ekosistem selain menyokong pelaksanaan Kempen Penghijauan Sarawak.
“Selain menyumbang kepada pemulihan kawasan hutan terosot, program itu turut berperanan memperkukuh kesedaran alam sekitar.
“Program ini juga menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam kalangan organisasi korporat, agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam usaha pemuliharaan,” jelasnya.

Program tersebut melibatkan 170 peserta terdiri daripada kakitangan Bahagian Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar SEB, SEB Power, serta Bahagian Strategi dan Pembangunan Korporat SEB bersama pegawai Jabatan Hutan Sarawak dan komuniti setempat.
Turut hadir pada program itu ialah Naib Presiden Kanan HSSE Sarawak Energy Berhad, Alvin Lim, manakala Jabatan Hutan Sarawak diwakili oleh Pegawai Penyelidik Kanan Bahagian Pemulihan Hutan dan Hutan Industri, Biha Razali.
“Kerjasama berterusan antara kedua-dua organisasi ini membuktikan komitmen bersama ke arah usaha pemulihan landskap jangka panjang di Sarawak,” ujarnya.



