ARTIKEL

2,800 buku perlu diterbit setahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 2,800 buku dalam setahun untuk menjadi sebuah negeri yang maju, kata Datuk Sebastian Ting.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) itu, Sarawak mempunyai sebanyak 2.81 juta populasi penduduk bermakna sebanyak 2,800 buku perlu diterbitkan setahun.

Walau bagaimanapun setakat ini katanya, kurang daripada 500 buah buku diterbitkan di negeri ini dalam tempoh tersebut yang jauh daripada jumlah sepatutnya.

“Setakat ini, kurang daripada 500 buah buku dihasilkan yang mana ia sangat jauh daripada jumlah sepatutnya iaitu 2,800 buah buku,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media Pustaka Book Fair 2023 di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, penulis buku, serta penerbit perlu menulis dan menghasilkan lebih banyak buku bagi mencapai tahap ini.

“Jadi, kita ingin menggalakkan penulis buku, penerbit untuk menulis dan menghasilkan lebih banyak buku bagi mencapai tahap tersebut,” tambahnya.

Sementara, berkongsi pengalaman beliau ketika berada di Korea Selatan baru-baru ini, beliau meluahkan rasa kagum akan budaya membaca di sana yang mana anak-anak muda dilihat membawa buku bersama mereka untuk dibaca. 

Tambahnya, situasi ini juga dapat dilihat di negara Eropah tetapi tidak di Sarawak yang mana kanak-kanak kebiasaannya lebih banyak menggunakan telefon pintar mereka untuk bermain permainan dan sebagainya.

Untuk itu, beliau menyeru orang ramai untuk mengamalkan amalan membaca buku kerana ia merupakan satu proses pembelajaran sepanjang hayat dalam menimba ilmu.

Mengulas lanjut, Sebastian berkata, apabila seseorang itu banyak membaca, ia membantu untuk melepaskan tekanan dan merehatkan minda seperti satu terapi yang disebut sebagai “readioterapi”.

Pustaka Book Fair 2023 akan diadakan di tiga lokasi Pustaka Negeri Sarawak iaitu di Kuching mulai 22 hingga 30 Julai, Sibu (3 hingga 6 Ogos) dan Miri (10 hingga 13 Ogos).

Seramai lebih 26 pempamer termasuk penerbit buku, kedai buku dan institusi pendidikan akan mempamerkan buku sepanjang pameran berlangsung.

Pelbagai aktiviti turut akan diadakan untuk kanak-kanak dan golongan dewasa  seperti Book Sharing, Special Needs Open Day, Literacy sessions, Sarawak Day Quiz, perkongsian ilmu daripada Audio Lab Hearing, Children Activities dan banyak lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU