ARTIKEL

TAHNIAH…Hamzah menyampaikan plak cenderahati kepada pelatih terbaik Program Latihan Kursus Asas Kepolisan Konstabel Bil. 76 Siri 3/2025, hari ini.

294 pelatih polis tamat latihan asas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Seramai 294 pelatih polis berjaya menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching, hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, CP Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua pelatih polis tersebut bersedia menyarung seragam keramat pasukan keselamatan negara.

“Daripada jumlah itu, seorang mempunyai Sijil Tinggi Agama Malaysia; dua anggota berkelulusan ijazah; sembilan diploma; tujuh anggota lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM); 42 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan 233 berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini bukan sekadar tamat latihan. Ini titik mula amanah yang besar, menjaga keselamatan negara dan menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya pada Program Latihan Kursus Asas Kepolisan Konstabel Bil. 76 Siri 3/2025, di Pulapol hari ini.

Tambah Hamzah, semua anggota polis masa kini perlu lebih bersedia bukan saja dari segi fizikal, tetapi juga menguasai teknologi dan memiliki daya tahan mental.

Ini kerana jenayah masa kini semakin mencabar katanya.

“Bukan lagi sekadar samun atau curi, tetapi sudah berubah kepada bentuk moden seperti jenayah siber, penipuan dalam talian, penyebaran berita palsu, fitnah di media sosial, malah ekstremisme.

“Setiap anggota mesti ada integriti yang tidak boleh dijual beli. Latihan yang anda lalui bukan sahaja menitikberatkan aspek fizikal, tetapi juga membina daya tahan mental dan rohani agar mampu menghadapi tekanan tugas dengan berhemah.

“Saya percaya bahawa nilai murni yang diterapkan sepanjang latihan seperti disiplin, setia, amanah dan tegas akan menjadi panduan utama anda dalam melaksanakan amanah,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih yang berjaya membentuk pelatih menjadi anggota berdisiplin, selain peranan ibu bapa dan keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU