SARIKEI : Hutan bakau seluas lebih 30,000 hektar di Kuala Rajang dikenal pasti sebagai lokasi strategik untuk dikomersialkan bagi industri perdagangan karbon, sekali gus dijangka menjadi pemacu utama kepada pembangunan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, Kuala Rajang merupakan kawasan hutan bakau terbesar di Sarawak, mempunyai potensi besar menjadi peneraju industri karbon biru negara ini.
“Ini merupakan satu ‘game changer’ kerana Kuala Rajang adalah satu-satunya kawasan yang diberi permit khas untuk menjalankan perdagangan karbon dalam kawasan hutan bakau.
“Kawasan ini kaya dengan stok karbon, sama ada karbon di atas atau di bawah tanah. Potensinya sangat besar, malah boleh diperluaskan ke kawasan lain seperti Lundu, Bako, Sematan dan Buntal,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Korban Perdana di Masjid Al-Muttaqin, Sarikei, hari ini.
Len Talif berkata, Lembaga Amanah Kebajikan Kuala Rajang (LAKIKR), yang ditubuhkan sejak 1995, telah diberi permit khas oleh Jabatan Hutan untuk menjalankan kajian awal selama tiga tahun bagi meneroka potensi perdagangan karbon di kawasan terbabit.
Menurut beliau, satu perjanjian juga telah dimeterai bersama sebuah syarikat antarabangsa bagi merealisasikan pelaksanaan projek perdagangan karbon ini.
Mengulas mengenai Projek Halal Hub di Tanjung Manis, Len Talif menjelaskan bahawa pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan bagi membangunkan kawasan tersebut, khususnya dalam memperkasa sektor pertanian secara komersial.
Tanggapan negatif sebagai projek ‘gajah putih’ adalah tidak tepat kerana pembangunan sedang berjalan secara berfasa termasuk dari segi penyediaan infrastruktur dan tanah berskala besar.
“Antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan kawasan seluas 4,000 hektar untuk tanaman komersial seperti padi dan nanas. Kerajaan juga telah memperuntukkan dana khusus untuk melaksanakan projek berkaitan,” ujarnya.


