KOTA SAMARAHAN: Pewujudan Yayasan Farley mencerminkan komitmen berterusan syarikat berkenaan untuk membantu pelajar yang memerlukan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau kolej di Sarawak.
Pengarah Farley, Eiyen Lau berkata, usaha tersebut amat signifikan memandangkan generasi hari ini merupakan aset dan harapan masa depan Sarawak serta negara.
“Dengan memberikan bimbingan, perhatian, serta peluang yang sewajarnya, kita yakin bahawa anak-anak pada hari ini akan menjadi generasi yang mampu memimpin kita menuju masa hadapan lebih cerah.

“Kita mewujudkan Yayasan Farley sebagai salah satu usaha dalam membantu pelajar yang memerlukan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti atau kolej di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih 2026 di The Garden Farley Kota Samarahan, semalam.
Tambahnya, menerusi yayasan tersebut, pihaknya turut menampung sepenuhnya kos yuran pengajian pelajar yang melanjutkan pengajian.
“Sehingga kini, seramai 33 pelajar menerima bantuan daripada Yayasan Farley dan kita berharap bilangan ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun agar lebih ramai anak Sarawak dapat mencapai impian mereka melalui pendidikan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu selaras dengan slogan Farley, “Your Community Retailer” pihaknya juga amat menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh komuniti Kota Samarahan, khususnya di kawasan Bandar Riyal.
Sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), katanya, Farley juga sentiasa komited untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berusaha menjaga golongan yang memerlukan.
“Majlis Sentuhan Kasih ini juga merupakan salah satu usaha kita untuk menzahirkan rasa prihatin dan kasih terhadap masyarakat dan komuniti setempat.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sokongan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan dalam menjayakan usaha kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di Kota Samarahan,” jelasnya.


