KUCHING: Sebanyak 345 pokok dan tumbuhan berbunga berjaya ditanam dalam Program Penanaman Pokok di Batu Kawa Riverbank Park menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Pansar Company Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Program tersebut merupakan kesinambungan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha kelestarian alam sekitar serta penghijauan bandar.
Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai menzahirkan penghargaan atas komitmen pihak Pansar serta menekankan kerjasama awam-swasta dalam memperkasa agenda kelestarian majlis tersebut.
Beliau turut mengalu-alukan badan korporat persatuan dan organisasi masyarakat untuk bekerjasama dengan MPP dalam memperkenalkan lebih banyak inisiatif hijau serta program berimpak komuniti.
“Kerjasama seperti ini bukan sahaja memperindah landskap bandar, malah memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan penduduk.
“Diharapkan lebih banyak organisasi tampil berganding bahu dalam mempromosikan kelestarian dan kesejahteraan komuniti” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pengunjung Batu Kawa Riverbank Park untuk menggunakan kawasan parkir yang disediakan di deretan kedai berhampiran dan mengelakkan ‘double parking’ bagi memastikan kelancaran trafik serta keselesaan pengguna.
Terdahulu, program tersebut merupakan tahun kedua penganjuran bersama MPP dan Pansar susulan kejayaan inisiatif penanaman pokok yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya.
Sumbangan pokok yang diberikan oleh Pansar bertujuan menambah kehijauan meningkatkan biodiversiti serta mencantikkan landskap di kawasan berkenaan.
Program itu juga telah disertai oleh 40 wakil Pansar, ahli MPP, pegawai serta sukarelawan. Ia menggambarkan komitmen kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memelihara alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh mengikuti laman Facebook rasmi MPP.



