BAU: Mahkamah Majistret Bau menjatuhkan pelbagai hukuman penjara dan denda terhadap 35 individu yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah dalam prosiding pada 23 dan 24 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata kesemua kes dikendalikan pegawai penyiasat tempatan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya di hadapan Majistret Bau.
“Prosiding memfokuskan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, termasuk pemilikan, penggunaan dan pengedaran dadah jenis Methamphetamine serta Ketamine.
“Hukuman yang dijatuhkan adalah antara denda RM1,000 hingga RM4,500, manakala tempoh penjara bagi kesalahan berat berkisar antara enam hingga 13 bulan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Haide, beberapa individu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh reman, manakala yang lain menjalani sebahagian hukuman melalui penggantian denda.
Beliau berkata tindakan tegas ini adalah sebahagian daripada usaha membendung penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Bau serta kawasan sekitarnya.
“Hukuman bukan sahaja bersifat pembalasan, malah bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat.
“Kes yang dibicarakan merangkumi pelbagai laporan polis yang diterima sepanjang 2024 dan 2025, menunjukkan isu penyalahgunaan dadah masih menjadi cabaran serius di kawasan ini.
“Selain hukuman penjara, sebahagian individu yang disabitkan membayar denda yang ditetapkan, menunjukkan mahkamah turut memberi peluang menyelesaikan hukuman secara kewangan apabila wajar,” katanya.
Tambahnya, prosiding ini dijalankan mengikut prosedur undang-undang yang ketat dan setiap keputusan dibuat berdasarkan bukti kukuh yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Hukuman ini juga berperanan sebagai amaran kepada orang ramai bahawa sebarang penglibatan dengan dadah berbahaya akan diambil tindakan undang-undang tanpa kompromi.
“Usaha membanteras dadah memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk komuniti tempatan, bagi memastikan kawasan Bau bebas daripada aktiviti haram ini,” katanya.



