KUCHING: Sarawak mahu menarik lebih ramai pesakit dari seluruh Borneo untuk mendapatkan rawatan di negeri ini, dengan kira-kira 35 juta penduduk Borneo dilihat sebagai pasaran besar bagi perkhidmatan kesihatan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peluang itu terbuka luas berikutan masyarakat kini semakin mencari rawatan berkualiti yang dilengkapi teknologi dan peralatan perubatan moden.
“Penduduk Sarawak kini mencecah 2.5 juta, tetapi Borneo mempunyai 35 juta penduduk.
“Itulah pasaran kita di Sarawak.
“Mereka ini mahukan rawatan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Regency Specialist Hospital Kuching milik Health Management International (HMI) Medical di The NorthBank di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, potensi pasaran itu tidak terhad kepada Borneo, malah boleh diperluas ke rantau Asia yang mempunyai kira-kira 700 juta penduduk.
Katanya, Indonesia menjadi antara pasaran utama yang boleh diterokai berikutan kedudukannya yang dekat dengan Sarawak serta jumlah penduduknya yang besar.
“Indonesia mempunyai banyak pulau dan kita mempunyai kelebihan dari segi jarak serta hubungan penerbangan.
“Jadi, mereka boleh datang ke Sarawak dengan mudah,” tambahnya.
Jelas Abang Johari, Sarawak juga mempunyai kelebihan dari segi kemudahan kesihatan sedia ada, pembangunan hospital baharu serta jaringan penerbangan melalui AirBorneo yang dapat memudahkan pesakit dari luar datang mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, Sarawak menerima lebih 100,000 pelancong perubatan pada 2025, menunjukkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan negeri itu semakin berkembang.
Pada masa sama, katanya, Sarawak turut melabur RM300 juta dalam latihan bagi meningkatkan keupayaan tenaga kesihatan menerusi kerjasama dengan institusi dan hospital terkemuka.
Menjelaskan mengenai pembinaan Regency Specialist Hospital Kuching itu, Abang Johari berkata pelaburan HMI Medical mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan rakan kongsi antarabangsa terhadap prospek jangka panjang Sarawak serta keupayaan negeri ini untuk menyokong perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.
Katanya, pembangunan itu bukan sekadar membina sebuah hospital lagi.
“Ia adalah mengenai membina keyakinan bahawa Sarawak mempunyai asas ekonomi yang mampu menyokong perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.
“Keyakinan bahawa rakyat kita berhak mendapat akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti yang lebih dekat dengan tempat tinggal mereka untuk generasi akan datang,” jelasnya.


