SARIKEI: Insiden pelanggaran berulang melibatkan kapal di kawasan projek tidak menjejaskan keseluruhan pelaksanaan pembinaan Jambatan Paloh yang kini terus berjalan mengikut perancangan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo berkata, walaupun projek itu berdepan pelbagai cabaran, termasuk kejadian pelanggaran, kemajuan kerja masih dapat diteruskan dengan baik.
Menurut beliau, sepanjang tempoh pelaksanaan projek, sebanyak 35 kes pelanggaran telah direkodkan di lokasi berkenaan.
Katanya, insiden tersebut berpunca daripada kedudukan tapak pembinaan yang terletak di kawasan pertemuan arus antara Batang Paloh dan Muara Lassa, yang sememangnya menjadi laluan utama kapal.
“Dahulu, kawasan ini merupakan laluan perkapalan yang agak sibuk, secara tidak langsung meningkatkan risiko berlakunya pelanggaran terhadap struktur pembinaan jambatan.
“Bagaimanapun, kejadian berkenaan hanya melibatkan kerosakan pada beberapa bahagian tertentu dan tidak menjejaskan keseluruhan kemajuan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan pemantauan di tapak projek Jambatan Paloh, hari ini.
Tambahnya, bagi mengelakkan kejadian berulang, pihak berkaitan telah mengambil tindakan dengan mengehadkan laluan kapal besar di kawasan tersebut.
Jelasnya, kawasan projek kini diwartakan sebagai zon larangan kepada kapal bersaiz besar demi memastikan keselamatan struktur pembinaan.
Dalam pada itu, pelbagai langkah mitigasi turut dilaksanakan termasuk memperketat kawalan keselamatan serta penyelarasan laluan sungai bagi mengurangkan risiko pelanggaran.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan situasi di tapak projek kini berada dalam keadaan terkawal dan kerja pembinaan dapat diteruskan dengan lebih lancar.
Jambatan Batang Paloh merupakan sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober tahun ini.
Projek bernilai hampir RM300 juta itu dijangka memberi impak besar kepada sistem perhubungan di kawasan pesisir serta memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar Sarawak.


