356 kes baharu, dua kematian

KUCHING: Sarawak mencatatkan 356 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 32,047 kes dan 184 kes kematian akibat Covid-19.

“Sejumlah 63 peratus daripada kes hari ini dikesan di Daerah Miri, Sibu, Kuching, Sebauh dan Selangau.

“Daerah yang merekodkan kes pada hari ini termasuk Miri (80), Sibu (74), Kuching (29), Sebauh (21), Selangau (20), Kapit (18), Pakan (16), Meradong (16), Subis (15), Bintulu (13), Sarikei (12), Song (11), Kanowit (5), Julau (5), Sri Aman (5), Betong (5), Beluru (2), Samarahan (2), Tatau (2), Marudi (1), Saratok (1), Limbang (1), Bau (1) dan Mukah (1)” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut JPBN, daripada 356 kes baharu yang dilaporkan, seramai 56 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Manakala, seramai 294 orang adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai dua kes kematian hari ini, JPBN mendedahkan kes kematian ke-183 adalah kes positif ke-21,572 yang melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 86 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Bintulu kerana mengalami serangan strok.

“Kes ini dimasukkan ke wad pengasingan berikutan hasil saringan ujian rT-PCR yang dikesan positif pada 14 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada 1 Mei lalu.

“Kes mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi dan strok,” ujarnya.

JPBN menambah, kes kematian ke-184 adalah kes positif ke-32,017 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 57 tahun.

Jelasnya, kes telah dirujuk ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk, muntah dan cirit-birit selama beberapa hari.

“Kes dikesan positif pada 2 Mei dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

“Kes mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis, penyakit jantung dan mempunyai sejarah strok,” katanya lagi.

Suara Sarawak