ARTIKEL

3,581 kes penderaan kanak-kanak direkodkan separuh pertama 2026 – KPWKM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 3,581 kes penderaan fizikal, seksual dan emosi kanak-kanak bagi tempoh separuh tahun pertama 2026.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 1,522 kes direkodkan pada suku pertama (Januari hingga Mac) sebelum meningkat kepada 2,059 kes pada suku kedua (April hingga Jun).

KPWKM menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang ingin tahu statistik kes penderaan dan kecuaian penjagaan kanak-kanak bagi suku pertama hingga suku kedua 2026 serta jumlah kes yang didakwa di mahkamah.

Kementerian itu memaklumkan bahawa kes melibatkan kecuaian dan pengabaian turut mencatat corak peningkatan dalam tempoh sama.

“JKM turut merekodkan sebanyak 987 kes pengabaian, termasuk kecuaian terhadap kanak-kanak, pada suku tahun pertama 2026.

Kategori ini turut merekodkan peningkatan pada suku tahun kedua dengan 1,292 kes, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,279 kes bagi separuh tahun pertama 2026,” menurut kementerian itu.

KPWKM memaklumkan sebanyak 867 kertas siasatan berkaitan penderaan kanak-kanak dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat Jun 2026, dengan 267 daripadanya telah didakwa di mahkamah.

KPWKM menegaskan bahawa pihaknya melalui JKM tidak pernah berhenti dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak terus terpelihara selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Menurut kementerian itu, JKM bertanggungjawab menyelamatkan mangsa, menyediakan penempatan selamat serta memberikan sokongan pemulihan, di samping memperhebat Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak sejak 2023.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2026, sebanyak 220 program KASIH Kanak-Kanak telah dilaksanakan di 220 sekolah dengan penglibatan 57,012 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

“Secara kumulatif sejak 2023, program ini telah dilaksanakan di 1,244 sekolah dan 74 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak, dengan penglibatan keseluruhan lebih 270,000 peserta,” menurut KPWKM.

Sehubungan dengan itu, KPWKM menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk melaporkan sebarang kes kecuaian dan penderaan kanak-kanak secara terus ke Talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam bagi memastikan tindakan intervensi dan penyelamatan segera dapat diambil. — Bernama

BERITA LAIN

Literasi AI, BRICS antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengintegrasikan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam silibus sekolah, penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS serta status penggubalan Rang Undang-Undang

BERITA TERBARU

Literasi AI, BRICS antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengintegrasikan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam silibus sekolah, penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS serta status penggubalan Rang Undang-Undang

PRN Ke-13: GPS bediri ba semua 82 penuduk

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) deka bediri ba semua 82 iti penuduk Kunsil Nengeri (DUN) Sarawak ba Pengawa Bepilih Nengeri (PRN) Ke-13. Chairman GPS ke