KUCHING: Sarawak merekodkan 36 kes buli bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, menjadikannya jumlah tertinggi dalam tempoh empat tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, angka itu meningkat berbanding 15 kes direkodkan pada 2024, 20 kes pada 2023 dan 14 kes pada 2022.
Menurutnya, peningkatan statistik tersebut memerlukan tindakan segera dan pendekatan menyeluruh daripada semua pihak.
“Sebagai usaha menangani isu ini, kementerian menganjurkan program Wacana Bestari: Isu Buli Dalam Kalangan Kanak-Kanak pada 27 September 2025 melibatkan 150 peserta dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.
“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang jenis buli, menerangkan peranan agensi, memantapkan tatacara intervensi serta memperkasa komuniti dan sekolah sebagai pelindung utama kanak-kanak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ujarnya, kes keganasan rumah tangga di Sarawak menunjukkan penurunan 4.1 peratus dengan 444 kes direkodkan sehingga Oktober lalu berbanding 463 kes dalam tempoh sama tahun 2024.
“Jawatankuasa Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) giat meneruskan program kesedaran dan setakat ini sebanyak 27 kursus advokasi dilaksanakan.
“Ia membuahkan hasil apabila 5,088 peserta atau 88 peratus daripada keseluruhan 5,782 peserta melaporkan peningkatan kefahaman mengenai hak dan keselamatan keluarga,” ujarnya.
Dalam hal berlainan, beliau berkata kementerian melalui Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil melaksanakan program kesedaran dan advokasi di sekolah serta randau pembangunan sosial bagi meningkatkan kefahaman remaja mengenai pendidikan seksual sejak 2016.
“Sejak 2024 hingga November lalu, 21 program berkaitan telah dilaksanakan melibatkan 4,865 pelajar sekolah menengah dan rendah,” katanya.
Mengenai jenayah dalam talian, beliau berkata ia menunjukkan peningkatan ketara dengan 3,022 kes melibatkan kerugian RM96.3 juta setakat Oktober lalu, berbanding 2,271 kes dan RM80.2 juta kerugian pada 2024.
“Oleh itu, JWKS setakat ini melaksanakan 15 kursus advokasi merangkumi literasi antipenipuan dan celik digital untuk wanita berusia.
“Tinjauan mendapati 789 peserta atau 92 peratus daripada 858 peserta menunjukkan peningkatan kefahaman tentang keselamatan siber dan celik digital,” jelasnya.


