ARTIKEL

TERIMA KASIH… Fatimah menyerahkan cek MRP-PPRMS kepada salah seorang KMKK dalam Penyampaian Cek MRP-PPRMS Fasa 1 DUN Dalat hari ini.

38 Rumah di DUN Dalat Terima Bantuan Baik Pulih MRP-PPRMS Fasa 1

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAT: Sebanyak 38 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat menerima bantuan baik pulih menerusi Projek Kecil Luar Bandar-Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) Fasa 1 bagi tahun 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata jumlah keseluruhan untuk MRP-PPRMS pada kali ini di kawasan tersebut berjumlah RM491,000.

Fatimah menyampaikan sijil kepada salah seorang KMKK sebelum menyerahkan cek MRP-PPRMS kepada yang lain.

“Bantuan ini adalah daripada Kerajaan Sarawak dan membuktikan komitmen kerajaan membantu rakyatnya di negeri ini.

“Jumlah keseluruhan penerima dari tahun 2024 hingga hari ini adalah sebanyak 470 orang dengan peruntukan berjumlah RM6,473,000,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyampaian Cek MRP-PPRMS Fasa 1 DUN Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bekerjasama bagi memudahkan kerja-kerja baik pulih berjalan dengan lancar.

Jelasnya, sekurang-kurangnya terdapat satu buah rumah yang mendapat bantuan PPRMS di setiap JKKK.

Sehubungan itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut menyampaikan sijil pelantikan dan pelanjutan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di daerah Dalat.

Ujarnya, beliau yakin dan percaya KMKK yang dilantik dan dilanjutkan perkhidmatan akan sentiasa komited menjalankan tugas masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi mengenai mesyuarat menangani isu kemiskinan dan pengangguran dalam kalangan masyarakat di DUN Dalat.

Menurutnya, terdapat 161 ketua isi rumah yang masih dalam kategori miskin, namun pihaknya akan memastikan golongan tersebut keluar daripada kemiskinan menerusi bantuan-bantuan yang boleh diberikan.

Menyentuh mengenai isu pengangguran, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain bagi memperkasakan belia dan mengurangkan isu pengangguran di kawasan tersebut.

RAKAM KENANGAN… Fatimah merakam kenangan bersama yang lain selepas majlis tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU