394 kes terkini hutan belukar terbakar

KUCHING: Setakat 13 Ogos, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima 394 kes kebakaran belukar, hutan, gambut di seluruh Sarawak dengan jumlah kawasan yang terjejaskan adalah 1,028 ekar.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tiong Ling Hii,dua buah rumah terjejas ekoran kebakaran belukar dan hutan iaitu sebuah rumah di Kampung Sangki, Simunjan dengan 10 peratus terbakar dan sebuah rumah di Kampung Sedi, Pulau Bruit 100 peratus terbakar.

Katanya, kes tertinggi kebakaran belukar dan hutan yang diterima dalam sehari adalah pada 12 Ogos pada hari Isnin sebanyak 65 kes, diikuti pada 10 Ogos Sabtu sebanyak 58 kes dan 11 Ogos Ahad sebanyak 55 kes.

Jelas Ling Hii, secara purata pihak Bomba dan Penyelamat menerima 30 kes kebakaran belukar setiap hari.

“Setakat hari ini, kes kebakaran belukar mengikut bahagian yang dilaporkan adalah bahagian Kuching sebanyak 10 kes, bahagian Mukah dengan lima kes dan bahagian Sibu dan Serian empat kes.

“Bahagian Betong mencatatkan tiga kes kebakaran belukar dan hutan diikuti bahagian Miri, Bintulu dan Samarahan dua kes manakala bahagian Sarikei dan Sri Aman satu kes,” katanya.

Ling Hii berkata, operasi berterusan bagi memadam kebakaran diteruskan, operasi pada hari ke-13 di Kompleks Kebajikan Hamidah Kuala Baram disambung semula pada jam 9.00 pagi, Kampung Sedi, Pulau Bruit, Tanjung Manis akan disambung semula pada jam 8.45 pagi baki dua ekar, Kampung Sangki, Simunjan pada jam 9.30 pagi 17 ekar, Kampung Bungan, Mukah pada 8.30 pagi baki sembilan ekar.

Tambah beliau lagi, operasi berterusan juga diteruskan di Kampung Tuie, Serabang pada 8.30 pagi memadam baki 29 ekar, Taman Harmoni Sri Aman pada jam 9.30 pagi, Jalan Marudi-Miri pada jam 8.30 pagi memadam baki yang terbakar dan Kampung Medong Dalat yang hanya dapat diakses melalui anak sungai yang bergantung kepada air pasang surut.

Suara Sarawak