KUCHING: Kerajaan Sarawak amat menekankan prinsip 3R: Revisit, Rethink dan Recharge dalam meningkatkan serta mentransformasi sektor perkhidmatan awam untuk menjadi institusi bertaraf dunia.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata beliau amat menekankan semua prinsip tersebut terhadap lebih 26,000 penjawat awam negeri tanpa mengira jawatan, kaum, agensi dan jabatan, bekerja sebagai satu pasukan.
“Prinsip ‘revisit’ umpamanya merujuk kepada semak semula dan memperbaharui prosedur atau polisi lama yang sudah tidak relevan serta lapuk bagi mempercepatkan sesuatu proses.
“Sementara ‘rethink’ merujuk kepada sikap sentiasa memikirkan inovasi serta transformasi baharu, manakala ‘recharge’ adalah bagi memberikan perkhidmatan awam tenaga baharu untuk merangsang usaha mencapai visi yang ditetapkan.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Suara Sarawak dan New Sarawak, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Jeniri Amir, Editor Eksekutif Rohana Wahed dan Ketua Editor New Sarawak Tribune Aden Nagrace serta wartawan kedua-dua akhbar di Wisma Bapa di sini, semalam.
Menjelaskan prinsip 3R, ujarnya ia amat sesuai diselaraskan dengan teknologi terkini, dan ia mesti diamalkan dalam tugasan seharian untuk menambah baik perkhidmatan agar kekal relevan dalam sektor awam dunia digital moden.
“Sebagai contoh, jika satu prosedur boleh dilakukan dengan lima langkah sekarang, mengapa bertegas untuk mengikuti 10 langkah yang diperkenalkan mungkin 10 atau 20 tahun lalu?
“Kita perlu menyemak semula pelbagai prosedur, termasuk responsif dengan inisiatif kerajaan, dasar dan apa yang berlaku di Sarawak dan global.
“Jika Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan beberapa idea baharu, belajar dan ketahui apa itu dan bagaimana untuk menyumbang ke arah itu.
“Sesiapa yang enggan berubah atau memperoleh kemahiran dan pengetahuan baharu, mereka tidak lagi relevan. Ini kerana Premier kita adalah seorang pemimpin yang bergerak dengan sangat pantas.
“Jika beliau sudah di gear lima, penjawat awam negeri tidak boleh kekal di gear tiga,” tegasnya.
Tambahnya, anggota perkhidmatan awam Sarawak hendaklah berlari sepantas untuk menyumbang idea-idea baharu kepada pembangunan, sekali gus mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kalau kita lihat, setiap kali mendengar ucapan Premier, beliau hadir dengan pelbagai idea baharu.
“Sehubungan itu, kita penjawat awam tidak boleh ketinggalan.
“Contohnya sebagai ketua jabatan, anda harus sentiasa memikirkan idea baharu dan bagaimana untuk kita dapat mengejar misi beliau.
“Apabila Premier bercakap mengenai benda baharu seperti alga, karbon, Dana Kekayaan Berdaulat dan sebagainya, kita hendaklah memastikan seiring dengan beliau.
“Kita tidak boleh ketinggalan dari segi sumbangan idea khususnya untuk pembangunan negeri dan manfaat rakyat secara amnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, anggota perkhidmatan awam juga perlu memastikan semua polisi, visi dan wawasan yang telah digariskan oleh barisan pemimpin negeri dilaksanakan sebaik mungkin.
“Kita bertanggungjawab untuk menyampaikan idea-idea tersebut kepada rakyat.
“Dalam masa yang sama, kita harus bekerjasama sebagai satu pasukan bukan hanya di dalam jabatan, tetapi juga dengan pemimpin negeri dan masyarakat.
“Ini penting supaya semua pendekatan kerajaan mampu disampaikan dengan baik.
“Saya tidak percaya bekerja secara berasingan atau sendirian tanpa berkomunikasi dengan orang lain, terutama ketika berkhidmat untuk rakyat dan membangunkan negeri. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan.
“Saya juga tidak mahu mana-mana kakitangan mempamerkan tingkah laku seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada orang lain kerana sikap sedemikian menghalang kemajuan ke arah mencapai standard bertaraf dunia,” tegasnya.


