SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri memuji inisiatif Pertubuhan Amal dan Pendidikan Akhlak Ji Yuan Shan She Saratok yang menghidupkan semangat kebersamaan pada setiap musim perayaan.
Beliau berkata, semangat muhibah dan kebersamaan masyarakat berbilang kaum terus terserlah apabila pertubuhan yang dipimpin Pemanca Lim Guan Ann itu menganjurkan program pengagihan 400 bungkusan bakul makanan sempena sambutan Hari Natal pada Khamis.
“Program kebajikan ini menyasarkan golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama sekali gus mencerminkan nilai perpaduan serta sikap saling prihatin yang menjadi teras keharmonian masyarakat di Sarawak.
“Sehubungan itu saya memuji usaha konsisten pertubuhan dalam memainkan peranan aktif membantu meringankan beban rakyat khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Sumbangan Bakul Makanan sempena Program Amal dan Kempen Derma Darah di Saratok yang turut dihadiri ADUN Krian, Friday Belik.
Jelasnya, inisiatif sedemikian bukan sahaja membantu dari segi keperluan harian malah mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.
“Inilah semangat Sarawak yang harus kita pelihara dan teruskan.
“Sekali gus ia menjadi contoh dan inspirasi kepada pertubuhan lain serta masyarakat umum untuk terus menyemai budaya memberi, di samping memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” ujarnya.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Amal dan Pendidikan Akhlak Ji Yuan Shan She Saratok, Pemanca Lim Guan Ann, ini merupakan program tahunan pertubuhan bagi membantu meringankan beban masyarakat sempena sambutan Hari Natal.
Selain itu katanya, program itu turut membantu orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang kurang berkemampuan.
“Sehubungan itu 400 penerima yang dipilih terdiri daripada kaum Cina, Iban dan Melayu yang masing-masing menerima barangan keperluan asas.
“Kita juga ingin mendidik masyarakat tentang nilai akhlak, kasih sayang dan tanggungjawab sosial selari dengan matlamat pertubuhan membentuk komuniti penyayang dan harmoni,” tambahnya.
Rata-rata penerima bantuan melahirkan rasa syukur dan terharu atas sumbangan yang diterima terutamanya dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar.




