433 sekolah daif di Sarawak sudah dibaik pulih, 587 dalam proses

KUCHING: Sebanyak 433 daripada keseluruhan 1020 sekolah daif di Sarawak sudah dibaik pulih setakat ini, kata Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee.

Menurut Dr Annuar, baki 587 sekolah sedang diusahakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini susulan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mempunyai hubungan yang baik.

“Dana untuk membaik pulih semua sekolah daif di negeri adalah menerusi peruntukan kedua-dua kerajaan dan saya percaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Daro Safiee Ahmad mengenai status terkini usaha membaik pulih sekolah daif di Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Annuar berkata sejumlah RM1.855 bilion telah diperuntukkan setakat ini bagi memperbaiki sekolah daif di Sarawak.

“Daripada jumlah itu, RM517 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat dan RM338 juta oleh Kerajaan Negeri, manakala RM1 bilion adalah pembayaran kontra kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Dr Annuar turut memuji Belanjawan 2021 yang memperuntukkan RM725 juta untuk membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak kerana jumlah tersebut jauh tinggi daripada peruntukan sebelum ini.

Suara Sarawak