47 ahli keluarga, kakitangan MPS, peniaga Pasar Sentral positif

SIBU: Seramai 47 individu dalam kalangan kakitangan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), peniaga di Pasar Sentral Sibu berserta ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 dalam masa seminggu ini.

Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi MPS Kaunselor Clarence Ting Ing Horh dalam satu kenyataannya semalam.

“Setelah menerima laporan hari ini dari Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sibu bahawa terdapat 47 individu disahkan positif Covid-19 dalam tempoh seminggu ini terdiri daripada kakitangan kami, peniaga di Pasar Sentral Sibu dan ahli keluarga mereka.

“MPS mengambil kira demi keselamatan bagi pengendali, kakitangan, pelanggan dan orang awam, saya ingin menyampaikan keputusan untuk menutup sementara Pasar Sentral Sibu dan Kompleks Tempat Letak Kereta Bertingkat MPS selama tujuh hari berkuatkuasa mulai 8 Februari (Isnin) hingga Ahad ini,” katanya.

Menurut Ting, selari arahan yang dikeluarkan oleh PKB Sibu pada 5 Februari kepada MPS di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit Penyakit 1998 dalam usaha membersihkan premis dengan lebih teliti dan mengekang penyebaran.

Katanya, berpandukan dan bertindak berdasarkan arahan, MPS memohon persefahaman dan kerjasama semua peniaga dan penjaja di Pasar Sentral Sibu dan Kompleks Tempat Letak Kereta Bertingkat MPS yang ditadbir di bawah bidang kuasa MPS untuk menutup sementara perniagaan masing-masing sepanjang tempoh yang dinyatakan di atas.

“Ini usaha untuk membantu meratakan keluk pandemik pada masa yang sukar dan mencabar ini.

“Dalam hal ini, semua penjaja, pengusaha gerai dan orang awam terutamanya yang berkenaan yang telah mengalami sebarang gejala berkaitan Covid-19, diingatkan sekali lagi untuk segera menjalani ujian calitan di klinik kerajaan berdekatan atau di lokasi pandu lalu yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu,” katanya.

Beliau berharap warga Sibu dapat menerapkan disiplin yang tinggi dan mematuhi dengan tegas semua arahan SOP dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa, berdasarkan situasi terkini.

Mohon hadkan pergerakan yang tidak perlu, elakkan mengunjungi tempat yang terlalu sesak dan sentiasa berhati-hati dengan jangkitan.

“Sila bekerjasama dengan MPS untuk mengatasi penularan di Sibu.

“Marilah kita terus memainkan peranan masing-masing, laksanakan peranan kita dengan ikhlas dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab,” jelas Ting.

Suara Sarawak