KOTA SAMARAHAN: Seramai 480 penerima dari beberapa kampung serta kem tentera dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan menerima manfaat menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Gawai yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM48,000 sempena sambutan perayaan masyarakat Dayak tahun ini.
Program berkenaan berlangsung di Pejabat Pusat Khidmat DUN Stakan di sini sebagai kesinambungan program kebajikan tahunan yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, inisiatif tersebut diteruskan bagi memastikan masyarakat Dayak yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan menjelang Gawai.
Menurutnya, jumlah penerima terus meningkat sejak program diperkenalkan daripada kira-kira 300 penerima pada tahun pertama, meningkat kepada 400 dan kini 480 penerima pada tahun ini.
“Kalau Tahun Baharu Cina kita ada sumbangan untuk masyarakat Cina, saya rasa masyarakat Dayak juga perlu diberi perhatian. Sebab itu kita mulakan program ini tahun lepas dan tahun ini jumlah penerima bertambah kepada 480 orang,” katanya.

Beliau menjelaskan bantuan berkenaan disalurkan melalui sumber luar termasuk sumbangan zakat serta sokongan rakan-rakan yang prihatin bagi membolehkan lebih ramai golongan sasar dibantu tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Tambahnya, buat julung kalinya anggota tentera dari Kem Tentera 3 Briged dan Kem Tentera 1 Divisyen turut menerima sumbangan memandangkan kedua-dua kem berkenaan berada dalam kawasan DUN Stakan.
Hamzah berkata, program tersebut bukan bersifat bermusim mahupun bermotifkan politik, sebaliknya akan diteruskan setiap tahun selagi kemampuan kewangan membenarkan dengan fokus kepada golongan benar-benar memerlukan.
Beliau dalam masa sama mengingatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memastikan pemilihan penerima dilakukan secara telus dan adil.
“Jangan pilih kasih. Pihak kampung lebih mengetahui siapa yang benar-benar memerlukan bantuan. Kita mahu bantuan ini sampai kepada mereka yang layak,” ujarnya.
Antara kawasan yang terlibat dalam agihan sumbangan itu termasuk Kampung Sidanu, Kampung Merdang Gayam, Taman Samarindah, Kampung Merdang Limau, Kampung Sungai Empit, Kampung Sidarud, Kampung Sijiram, Kampung Merdang Lumut, Kampung Quop serta dua kem tentera iaitu Kem Tentera 3 Briged dan Kem Tentera 1 Divisyen.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Daily Joseph serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum DUN Stakan.
Program ini dilihat mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Stakan dalam memastikan kebajikan masyarakat pelbagai kaum terus diberi perhatian khususnya menjelang sambutan Gawai di kawasan berkenaan.



