ARTIKEL

Datuk Rubiah Wang menyampaikan ucapan ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di Kota Samarahan, hari ini.

50 pegawai kadet SISPA UNIMAS terima tauliah Leftenan Muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seramai 50 Pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima tauliah Leftenan Muda Pertahanan Awam, sekali gus mencerminkan kejayaan melahirkan graduan yang berilmu, berdisiplin, prihatin dan bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pentauliahan pertama yang diadakan di UNIMAS pada 2022 melibatkan 60 pegawai kadet, manakala pentauliahan kali kedua tahun ini melibatkan 50 pegawai kadet.

“Secara keseluruhan, seramai 388 pelajar UNIMAS yang menyertai SISPA telah ditauliahkan.

“Sebelum ini, pentauliahan dilaksanakan di peringkat nasional di Kuala Lumpur, namun usaha itu telah dilaksanakan dengan mengadakan pentauliahan di universiti bagi meningkatkan lagi kesedaran dan penyertaan pelajar dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Kor SISPA UNIMAS, di sini, hari ini.

Pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menerima tauliah Leftenan Muda Pertahanan Awam, hari ini.

Beliau berkata, Program Kor SISPA merupakan antara usaha untuk memperkasakan APM di peringkat negara, selain menggalakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, Kor SISPA mendapat penyertaan yang amat baik di seluruh negara apabila kita dapat melihat bagaimana pasukan kadet dan sukarelawan lain sentiasa bersedia membantu dalam pelbagai situasi dengan pantas dan berkesan,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata pentauliahan Kor SISPA mampu melahirkan pelajar dan graduan yang bukan sahaja berilmu dari sudut akademik, malah memiliki disiplin, keprihatinan dan rasa tanggungjawab yang tinggi.

“Hari ini, selain mentauliahkan 50 pegawai kadet yang telah menamatkan latihan, kita turut memberikan penganugerahan kepada mereka yang berjaya menyumbang kepada masyarakat.

“Antaranya ialah seorang pelajar yang menggunakan ilmu dan latihan yang diterimanya dalam Kor SISPA untuk bertindak pantas menyelamatkan nyawa dalam satu kejadian di Tasik UNIMAS,” kongsinya.

Dalam pada itu, beliau berkata program bagi meningkatkan penyertaan masyarakat dalam APM dilaksanakan di pelbagai peringkat, termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT), daerah, bahagian, negeri dan nasional.

Tambahnya, peranan APM bukan hanya tertumpu kepada situasi kecemasan dan bencana, tetapi turut merangkumi kesiapsiagaan serta ketenteraman awam dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Oleh itu, pelibatan universiti dan golongan mahasiswa dalam APM amat digalakkan,” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menghargai kerjasama strategik antara UNIMAS dengan APM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, kesedaran sosial dan semangat patriotisme yang tinggi.

Justeru, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan turut berazam untuk terus menyokong pembangunan Program SISPA UNIMAS.

“Saya akan berusaha membantu pelaksanaan program pembangunan mahasiswa, latihan kepimpinan, aktiviti kesukarelawanan dan inisiatif memperkukuh Kor SISPA menerusi peruntukan kawasan Parlimen Kota Samarahan, mengikut keutamaan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU